KUCHING: Empat lelaki warga tempatan kerana menyeleweng diesel dan petrol, yang dianggarkan bernilai RM2,455.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi yang dijalankan di sekitar Kota Samarahan, semalam.

Kes kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak untuk tindakan lanjut.

Menjelas lanjut, Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata diesel yang dirampas adalah sebanyak 600.11 liter manakala petrol sebanyak 862.8 liter.

Katanya turut dirampas sebuah lori dan pikap yang digunakan untuk mengangkut bahan api berkenaan, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM17,455.

“Siasatan akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan jika melibatkan sebuah pertubuhan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta bagi setiap barang kesalahan yang dilakukan.

“Jika orang itu bukan pertubuhan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi setiap kesalahan yang dilakukan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Stanley berkata KPDNHEP Sarawak dengan kerjasama agensi penguat kuasa akan berterusan dan sentiasa menjalankan pemantauan, pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas untuk menangani ketirisan serta penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Diesel dan petrol yang dirampas dipercayai diseleweng oleh empat lelaki warga tempatan di Kota Samarahan.