SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Tinggi berjaya merebut juara MSNLens dalam pertandingan video pendek sempena Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Sarawak.

Video pendek bertemakan aplikasi sains dalam masyarakat yang berjudul penggunaan pokok Telang berjaya menjadikan SMK Sarikei Tinggi dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang cek bernilai RM1,000.

Wakil kumpulan dari SMK Sarikei Tinggi Elvies Chiew Zi Hao berasa teruja atas kejayaan merebut gelaran juara MSNLens 2020.

Video itu mengisahkan penggunaan pokok Telang sebagai kaedah alternatif untuk menggantikan penunjuk universal biasa digunakan di makmal sekolah berjaya menarik minat juri.

“Idea projek tersebut muncul hasil perbincangan antara ahli kumpulan dan kami mengembangkan idea tersebut dengan bantuan guru sekolah,” ujarnya.

Menariknya, Elvies Chiew Zi Hao berkata kumpulannya menemui manfaat pokok Telang. “Pokok itu lebih selamat dan bunganya dapat dijumpai di seluruh Asia Tenggara termasuk Sarawak,” jelasnya.

Sementara itu, bagi kategori Program Saintis Muda 2020, SMK Green Road berjaya merebut johan dan membawa pulang wang bernilai RM1,000.

Menurut wakil pelajar SMK Green Road Ian Jong Kai Yi, SMK Green Road bekerjasama dengan agensi Chemsains Konsultant Sdn Bhd dalam menjayakan projek berkenaan rawatan air.

“Menerusi projek rawatan air, kami banyak belajar kepentingan mengamalkan sains dalam kehidupan seharian. “Malah, kami juga belajar keajaiban sains dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah seperti kaedah rawatan air,” jelasnya.

Ian Jong Kai Yi mewakili kumpulannya berharap agar lebih ramai generasi muda berminat mempelajari sains dengan lebih mendalam kerana sains merupakan cara hidup, bukan sekadar pendidikan di sekolah.

Memupuk Minat Dalam Bidang Sains Sementara itu, Program Saintis Muda 2020 merupakan inisiatif program dianjurkan oleh Kimia Sarawak dan Institusi Kimia Malaysia Negeri Sarawak sempena MSN 2020 Peringkat Negeri Sarawak.

Program berkenaan diwujudkan bertujuan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari dalam suasana pekerjaan sebenar.

Secara tidak langsung, menerusi program sedemikian dapat memupuk minat pelajar khususnya dalam bidang sains. Manakala MSN 2020 merupakan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) setelah melihat rentetan kejayaan pelaksanaan MSN 2019.

MSN 2020 yang bertemakan Keajaiban Sains selaras dengan aspirasi Mosti untuk mengupayakan sumber sains, teknologi dan inovasi (STI) sedia ada pada masa akan datang bagi menjadikan Malaysia sebagai negara berasaskan sains progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh.

Penganjuran MSN oleh Mosti di seluruh negara pada setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI dalam kehidupan seharian.

Program itu bertujuan bagi menarik minat dan meningkatkan bilangan pelajar memilih jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) selaras dengan agenda Stem negara serta menghargai dan mengiktirafkan sumbangan dan kejayaan dalam bidang sains