LUNDU: Lima guni berisi 2,500 batang anak kopi ditemui tanpa pemilik sekitar 500 meter dari pagar Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak, sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat malam kelmarin.

Barang yang dipercayai cuba diseludup secara haram merentasi sempadan negara itu dikesan Pasukan Batalion Kesebelas Rejimen Askar Melayu Dirajac (11 RAMD) sekitar jam 1.30 petang.
Jurucakap Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berkata, kejayaan tersebut hasil Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketiga Infantri Malaysia(3 Briged).

“Setelah diperiksa, kelima-lima guni itu mengandungi 2,500 anak pokok kopi telah ditinggalkan di kawasan sempadan Sarawak. “Kesemua barangan itu dianggarkan bernilai RM175,000,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya, barang rampasan itu seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Lundu untuk siasatan dan tindakan lanjutan.

Tegasnya, pihak Tentera Darat Malaysia(TDM) komited, fokus dan mempunyai tahap kesiagaan tinggi untuk mengawal sempadan negara dari sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.