SUKAN Malaysia (Sukma) yang dijangka berlangsung pada April 2021 berkemungkinan akan ditunda ke tahun 2022 sekiranya pandemik Covid-19 masih berlanjutan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan bagaimanapun berkata, ia akan ditentukan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma terakhir pada Disember ini.

“Setakat ini, persiapan para atlet kita pada tahap yang tertinggi.

Semua sudah bersiap sedia untuk Sukma yang akan diadakan pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Taman D-Virtual di sini, kelmarin.

Dalam hal berkaitan, Snowdan menjelaskan sekiranya acara sukan tersebut ditunda sekali lagi, umur para atlet akan bertambah.

“Difahamkan selepas dua tahun, segelintir atlet tidak lagi berusia 21 tahun ke bawah di mana Sukma adalah untuk atlet yang berusia di bawah 21 tahun.

“Namun mereka akan dibenarkan, mengikut senarai yang telah diluluskan sebelum ini,” jelasnya.

Snowdan berkata kontinjen, atlet dan pelatih untuk mewakili Sarawak ke Sukma tahun depan telah bersiap sedia sepenuhnya.

“Jika diikutkan, Sukma diadakan lebih awal tetapi susulan penularan Covid-19, maka kita hanya meneruskan latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Terdahulu, Snowdan berkata Sukma akan diadakan pada April 2021 manakala Para Sukma diawalkan pada bulan Mac 2021.