KUCHING: Mahkamah Tinggi semalam mengarahkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang terlibat sebagai pelaku tunggal kes membunuh isteri keduanya membela diri pada 9 dan 10 November depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin mendapati ada kes prima facie ketika membuat keputusan pada akhir perbicaraan pendakwaan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang berusia 38 tahun didakwa membunuh isteri keduanya yang berusia 33 tahun dengan menembak mangsa sekitar jam 3.15 petang pada 21 Mei 2019 di Kampung Kakai, Serian atas dasar cemburu.

Tertuduh menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh ditangkap polis di sebuah rumah di kawasan Batu Kawa selepas melarikan dir dari tempat kejadian.

Siasatan mendapati mangsa ketika dibunuh telah mengandung dua bulan.

Tertuduh yang bertugas di Balai Polis Belaga telah melakukan pembunuhan tersebut terhadap mangsa telah menaiki sebuah kereta polis untuk melaksanakan pembunuhan itu dengan mengesyaki mangsa main kayu tiga.

Senjata yang digunakan dalam kes berkenaan merupakan pistol yang dikhaskan bagi pegawai polis dalam menjalankan tugas rasmi telah dirampas sebagi bukti.

Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid hadir sebagai pendakwaan sementara tertuduh diwakili peguam C.M Sundram.