WASHINGTON: Presiden AS Donald Trump disahkan negatif Covid-19 untuk “dua hari berturut-turut,” kata doktor Rumah Putih Sean Conley pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

“Sebagai tindak balas terhadap pertanyaan anda berkaitan ujian Covid-19 terbaharu Presiden, saya boleh memberitahu anda bahawa beliau diuji negatif, untuk dua hari berturut-turut, menggunakan kad antigen Abbott BinaxNOW,” kata Conley dalam satu kenyataan.

Perkembangan itu diumumkan ketika Trump mengadakan kempen pada Isnin malam di Florida.

Kenyataan itu merumuskan presiden “tidak menjangkiti orang lain.” Trump, 74, pada 3 Oktober mengesahkan beliau dan wanita pertama Melania diuji positif virus itu, beberapa jam selepas pembantunya, Hope Hicks pada Rabu lalu dijangkiti Covid-19.

Sebelum dan selepas Trump dijangkiti, sejumlah kakitangan Rumah Putih turut disahkan positif virus itu.

“Saya melaluinya dan sekarang mereka mengatakan saya kebal,” kata Trump kepada penyokongnya di Sanford, berhampiran Orlando, dengan sebilangan kecil sahaja memakai pelitup muka.

“Saya berasa sangat kuat. Saya akan berjalan ke sana, saya akan mencium semua hadirin. Saya akan mencium lelaki dan wanita cantik itu, saya akan memberikan ciuman kepada anda,” kata Trump semasa berucap di pentas di Florida ketika pengundian pilihan raya presiden berbaki 22 hari lagi.