KUCHING: Para pelajar khususnya di sini yang tidak dapat meneruskan pembelajaran di kolej dan universiti masing-masing disebabkan penularan Covid-19 ketika ini dipelawa menggunakan fasiliti di pusat Pembangunan dan Kepimpinan Belia (Youlead) Sarawak.

Penasihat Youlead, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, penubuhan pusat Youlead di Matang adalah untuk menyediakan kemudahan pembelajaran secara dalam talian kepada golongan pelajar yang terjejas.

“Saya mewujudkan sebuah pusat pembelajaran dalam talian untuk keperluan pelajar-pelajar yang tidak dapat meneruskan pembelajaran di kolej dan universiti masing-masing

“Saya percaya ramai pelajar yang memerlukan tempat sebegini memandangkan pembelajaran dalam talian di rumah tidak begitu kondusif atau kurang peralatan yang diperlukan,” katanya yang dihubungi semalam.
Menurut Fazzrudin yang juga Adun Tupong, antara kemudahan yang disediakan ialah internet, komputer riba, mesin pencetak, kerusi dan meja serta pelbagai lagi.

Katanya sejak dibuka dua bulan lalu, pusat berkenaan telah digunakan oleh ramai pelajar untuk menjalani pembelajaran dalam talian.

“Hari ini (semalam) pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan juga ada seorang pelajar dari University of British Columbia Canada menggunakan fasiliti yang telah kami sediakan,” katanya.

Justeru, katanya pelajar yang berhasrat menggunakan fasiliti di Youlead boleh berhubung dengan Abang Zul Aiman Abang Jashmady (0128499910) dan Nur Aisyah Eiryeeza Sabri Waini @ Sabri (0135859912).