KUCHING: Walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai status istimewa dalam Persekutuan, semangat Perjanjian Malaysia (MA63) dilihat gagal dihormati secara menyeluruh, lantas mewujudkan ketidakseimbangan dalam manfaat ekonomi dan pembangunan.

Naib Presiden II Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Diana David Itang berkata, pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 berasaskan prinsip perlembagaan bagi menjamin pengagihan kuasa dan ekonomi yang saksama, adil serta membebaskan rakyat daripada penjajahan minda dan jiwa demi mengangkat martabat rakyat Malaysia.

Menurutnya, pengukuhan pemusatan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan sejak MA63 ditandatangani merupakan antara faktor yang menyebabkan Sabah dan Sarawak terus ketinggalan, khasnya dari aspek ekonomi, walaupun menjadi antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.

“Berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2018, Sarawak menyumbang 9.6 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara dan Sabah menyumbang sebanyak 6.2 peratus.

“Bagi pungutan hasil pula, Sarawak dan Sabah berada di kedudukan pertama dan kedua jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

“Pada tahun 2017, Sarawak mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM6.9 bilion dan Sabah mencatatkan kutipan RM3.9 bilion,” katanya.

Beliau turut menambah, ekonomi sebagai bidang terpenting sentiasa menimbulkan pertikaian berhubung MA63.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu bertindak secara lebih adil dan menghormati perlembagaan dengan memperuntukkan agihan lebih seimbang agar bersesuaian dengan sumbangan hasil negeri-negeri berkenaan.

“Ini penting kerana agihan yang lebih baik akan memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih meluas serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan,” katanya lagi.

Beliau turut bertanya adakah tujuan asal serta kemajuan dicapai oleh Sabah dan Sarawak setaraf dengan yang dinikmati Semenanjung selepas 57 tahun Malaysia ditubuhkan atau adakah masih wujud jurang besar dari segi pembangunan prasarana, ekonomi, pendidikan dan sebagainya?

Merujuk data rasmi yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya Suhakam Sarawak Profesor Dr. Madeline Berma, Rekod e-Kasih pada tahun 2018 menunjukkan sekitar 30 peratus dari Sarawak diikuti Kelantan (25.4 peratus), jelas Diana David Itang.

“Dalam data tersebut, sebanyak tujuh daripada 10 daerah yang miskin di Malaysia adalah di Sarawak yakni Sarawak berada di bawah pendapatan pertengahan negara iaitu RM5,228.

“Menurut Jabatan statistik, Sarawak hanya mencatatkan RM4,163 dan kerajaan perlu menangani masalah kemiskinan ini,” ujarnya.

Beliau menambah, pemusatan kuasa yang terlalu rigid menyukarkan federalisme untuk diamalkan secara adil.

“Kerajaan wajar mempertimbangkan desentralisasi kuasa dalam beberapa aspek yang bersesuaian termasuk hal berkaitan kewangan, percukaian dan sumber asli bagi melihat keseimbangan dan kemajuan kepada Sabah dan Sarawak dapat dicapai dengan lebih pantas

“Desentralisasi kuasa ini mampu memastikan sistem federalisme terlaksana dengan lebih berkualiti melalui hubungan pusatnegeri yang lebih dinamik dan bebas,” katanya.