MIRI: Penganjuran program Innowaste merupakan satu platform untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mempamerkan kreativiti dalam inovasi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, program itu selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda utama dalam mentransformasikan negeri dengan memanfaatkan inovatif manusia.

“Inovasi dan transformasi amat diperlukan untuk menempuh saatsaat genting sekarang. Dengan pandemik Covid-19 yang masih menular di dunia luar sana, saya percaya kita mempunyai peranan masing-masing.

“Perkara ini benar sekali, terutama bagi kami di peringkat Kerajaan Tempatan iaitu kami giat meneruskan usaha untuk memajukan budaya inovasi bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, cekap dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Innowaste 2020 bersempena Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak 2020 di Kompleks Permaisuri Imperial City di sini, pada Selasa.

“Tema Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak tahun ini iaitu ‘Inovasi untuk Perkhidmatan Cemerlang’  amat bertepatan dengan peranan Kerajaan Tempatan sebagai barisan hadapan dalam pelbagai aspek kehidupan harian rakyat.

“Menerusi inovasi, semangat berkongsi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap pentadbiran, idea akan dapat disemai dan sekali gus meningkatkan semangat teroka dan belajar,” tambahnya.

Dalam pada itu, Kui Hian juga menyeru orang ramai menerokai pengurusan sampah agar dapat menghasilkan langkah pengendalian yang lebih cekap.

“Oleh kerana kita telah membuat kemajuan besar dalam inisiatif Innowaste, kita mesti meneroka bagaimana untuk mengembangkan kecekapan pengurusan sampah kita.

“Mari kita mendalami aspek waste to wealth dan tidak hanya melihat keluaran fizikal, tetapi sebaliknya merangka dasar yang inovatif dan membincangkan pelaksanaan yang mampu meningkatkan hasil pendapatan PBT,” ujarnya.

Beliau menambah lagi, berdasarkan kajian Pengurusan Sampah Bersepadu Sarawak, dianggarkan 89.4 peratus sampah isi rumah dibuang sebagai sisa buangan berbanding hanya 10.6 peratus dihantar untuk kitar semula.

“Bagi pengeluaran bukan komersial, institusi dan industri sebanyak 82 peratus adalah sisa buangan berbanding hanya 18 peratus dihantar untuk dikitar semula.

“Jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan semakin meningkat akan memendekkan jangka hayat tapak tersebut. “Jadi kita perlu memperbaiki dan meminimumkan jumlah sampah untuk mengoptimumkan proses pemulihan dan rawatannya,” tegas Kui Hian.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin; Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil; Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting; Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Mohd Shahabudin Omar dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Antonio Kahti Galis turut hadir.