SARATOK: Penganjuran Kalaka Mini Bike Gathering 2020 merupakan bukti sokongan kerajaan terhadap pembangunan belia setempat, sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan mereka yang mempunyai minat yang sama.

Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok Kaunselor Mohamad Duri berkata, minat serta kecenderungan belia dalam setiap aktiviti yang bermanfaat sentiasa disokong penuh.

“Misalnya Kalaka Mini Bike Gathering 2020 ini sangat relevan dalam menyatupadukan mereka yang mempunyai minat yang sama walaupun berbeza latar belakang.

“Platform ini saya percaya telah menjadi medium perkongsian idea antara satu sama lain. Dalam pada itu, kita dapat mendengar apaapa yang disuarakan kelompok itu secara terus.

“Insya-Allah menerusi saluran tertentu kita akan melihat keperluan lain demi pembangunan belia setempat agar mereka tidak ketinggalan,” katanya ketika ditanya selepas mewakili Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz merasmikan program di Tebingan Sungai Krian, baru-baru ini.

Beliau berharap golongan belia terus menghidupkan pelbagai aktiviti bermanfaat di Daerah Saratok. Mohamad menjelaskan, program yang disusun atur bagi mengisi Jum Santai Kalaka 2020 berjaya menarik penyertaan 150 pemilik dan kumpulan motosikal tempatan khususnya di Daerah Saratok. Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Rider Style yang dimenangi oleh Ishak sementara Emelia James meraih gelaran Ratu Rider.

Manakala kategori Autoshow disertai 21 motosikal. Kesemua pemenang menerima piala, hamper dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Mohamad. Terdahulu diadakan ceramah keselamatan jalan raya oleh Penolong Pegawai Penyiasat IPD Saratok Sarjan Mohammad Salleh.

Selesai Kalaka Street Soccer dan Kalaka Mini Bike Gathering 2020, hujung minggu ini akan diteruskan dengan penganjuran Sepak Takraw Tertutup Kalaka Saratok pada 17 hingga 18 Oktober. Pada 24 Oktober kelak akan diadakan Jum Ngail Kalaka dan Hidangan Tradisional Kalaka serta penutupnya 31 Oktober hingga 1 November akan diisi dengan Pangkah Gasing Kalaka