PEKERJAAN merupakan perkara yang dilakukan bagi mendapatkan wang melalui jualan atau perkhidmatan.

Pertambahan kilang di kawasan bandar menyebabkan peluang pekerjaan turut bertambah. Keadaan ini menggalakkan penduduk berhijrah ke sesuatu kawasan terutamanya bandar.

Sudah tentu bagi mereka yang belum pernah merasai kehidupan atau menjejakkan kaki ke bandar, ia merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

Segelintir masyarakat menganggap bandar sebagai lubuk pekerjaan kerana mudah untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan hidup dan sebagainya.

Bagi sesetengah individu pula, kesukaran hidup di kampung menjadikan mereka merantau ke bandar untuk mencari rezeki dan menampung kehidupan keluarga di kampung.

Namun, benarkah bandar satus-atunya tempat adanya rezeki? Pernahkah kita terfikir bagaimana kehidupan mereka yang asalnya dari kampung berhijrah ke bandar?

Zaman kian berubah, malah kehidupan di kampung kini sudah hampir setanding dengan bandar.

Bukan itu sahaja, jika dilihat secara kasar terdapat golongan yang dikategorikan sebagai miskin bandar kerana tidak mampu untuk menyara kehidupan sendiri walaupun hidup di bandar.

Situasi sebegini mendorong anak muda untuk melakukan lebih daripada dua pekerjaan untuk menampung keperluan seharian dan bulanan mereka.

Ramai memaklumkan, pada usia semuda 20-an seharusnya sudah mempunyai pekerjaan yang akan memberikan keselesaan kepada diri sendiri dan orang tua (ibu bapa).

Mungkin dahulu pemikiran seperti itu boleh diterima pakai. Tetapi kini, anak muda dibebani dengan tanggungjawab yang setanding dengan ibu bapa  mereka.

Walaupun belum berkeluarga, tiada tanggungan lain selain diri sendiri, namun bebanan pinjaman pendidikan, pinjaman persendirian dan keperluan menyebabkan mereka sanggup melakukan lebih daripada satu pekerjaan.

Sudah tentu, masyarakat akan mengatakan, “sudah tahu pekerjaan biasa sahaja dan gaji yang diterima hanya mampu menampung kehidupan seharian, mengapa ingin membuat pinjaman pada usia muda?”

Penulis ingin menjelaskan di sini, pinjaman seperti untuk membeli kenderaan penting yang akan memudahkan pergerakan di bandar. Pertama, pergerakan di bandar tidak seperti di kampung.

Kenderaan diperlukan untuk ke tempat kerja, terutama jika syarikat tempat bekerja tidak menyediakan pengangkutan.

Kedua, sewa rumah. Sudah pasti apabila bekerja jauh dari kampung halaman, anak muda perlu mencari rumah sewa sendiri jika tidak disediakan oleh syarikat mereka.

Tidak semua majikan bermurah hati menyediakan penginapan percuma kepada pekerja. Sewa rumah di bandar tidak seperti di kawasan yang kurang pesat membangun.

Di bandar kecil, harga rumah sewa mungkin boleh didapati dalam lingkungan RM300 hingga RM500. Tetapi di bandar yang sedang membangun, harga tersebut hanya untuk bilik sewa yang agak kecil dan tidak selesa.

Ketiga, pinjaman pendidikan. Bagi mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, mungkin ada yang meminjam untuk menampung yuran pendidikan mereka.

Jika tidak dibayar, ia akan menyebabkan nama mereka disenarai hitam dan menyukarkan mereka melakukan pinjaman lain pada masa hadapan.

Gaji minimum RM1,100 habis untuk membayar sewa rumah, pinjaman motosikal, dan pinjaman pendidikan. Bagaimana pula dengan makan minum harian? Terdapat segelintir yang mendapat gaji sedikit tinggi daripada jumlah tersebut tetapi masih tidak mampu menanggung kehidupan mereka.

Kesimpulannya, walaupun penat, tetapi asalkan mampu membiayai segala keperluan dan kegunaan harian, anak muda kini sanggup! Fenomena dua pekerjaan bukan lagi perkara baharu tetapi sudah menjadi trend dalam kalangan anak muda. Justeru, disebabkan perkara ini kebanyakan anak muda kini sanggup melakukan dua pekerjaan sehingga tiada masa untuk diri sendiri.