KUCHING: Buat julung kalinya, seramai 47 anugerah dalam tujuh kategori akan menjadi rebutan dalam Majlis Anugerah Seniman Muzik Sarawak yang berlangsung pada 4 November depan.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Hamzah, penerima anugerah tersebut akan menerima Anugerah Seniman Muzik Sarawak dan pengiktirafan tertinggi daripada Kerajaan Sarawak.

“Ia adalah pengiktirafan terhadap sumbangan, pengorbanan dan jasa penggiat seni muzik Sarawak pada era 50-an, 60-an dan 70-an.

“Anugerah tersebut dianggap sebagai sebuah platform penjanaan modal insan yang berilmu, berkemahiran, kreatif dan inovatif dan selaras dengan matlamat Konvensyen Untuk Menjaga Warisan Kebudayaan Tidak Ketara iaitu perjanjian Unesco yang diterima pakai oleh Persidangan Agung Unesco pada 17 Oktober 2003.

“Oleh itu, usaha gigih yang telah ditunjukkan oleh mereka sejak dahulu telah memberi kejayaan yang cemerlang dalam bidang yang mereka diceburi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan anugerah yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MTAC) dengan kerjasama Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia, Kuching (MACPA) dijadikan acara tahunan sebagai tanda penghargaan khazanah budaya bangsa Sarawak.

“Anugerah tersebut adalah pengiktirafan tinggi yang diberikan kepada anak seni tempatan sebagai penghormatan atas jasa, sumbangan dan baktinya dalam pembangunan dan perkembangan seni muzik Bumi Kenyalang.

“Sumbangan dan bakti yang diberikan dilihat sebagai satu sumbangan bermakna dan besar kepada pertumbuhan sosioekonomi Sarawak,” ujarnya.

Tambah beliau, Industri Muzik Sarawak telah bermula sejak tahun 50-an dan telah melahirkan ramai seniman muzik sehingga sekarang.

“Ia adalah inisiatif kami (kementerian) dan MACPA untuk mengiktiraf Seniman Muzik Sarawak yang telah lama berjuang dan berkaliber seperti Datuk Sabanun Merikan, Pauline Linang, Datin Senorita Linang, Safar Ghafar, Rahim Saring, dan ramai lagi.

Jelas Karim, Kerajaan Sarawak memandang serius sumbangan seniman seni Sarawak dan amat berbangga terhadap hasil seni anak tempatan Sarawak.

Abdul Karim yang juga Adun Asajaya turut menggalakkan lebih banyak penglibatan masyarakat khususnya golongan belia yang mempunyai pelbagai idea kreatif dan inspirasi.

Anugerah yang bakal dimenangi ialah Tokoh Kenyalang Emas, Tokoh Permata Kenyalang, Tokoh Cahaya Kenyalang, Tokoh Mutiara Kenyalang, Bintang Harapan, Bintang Legenda dan Bintang Sepanjang Zaman.

“Seniman yang berjaya akan membawa pulang wang tunai, trofi dan sijil,” katanya.

Habuan keseluruhan yang menunggu pemenang ialah RM100,000.