TEBEDU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah menangkap seramai 60 individu atas pelbagai kesalahan rasuah dalam tempoh Januari sehingga semalam.

Pengarah SPRM Sarawak Mohd Zaki Hassan berkata setakat ini, 48 kertas siasatan telah dibuka melibatkan nilai suapan berjumlah lebih RM2.3 juta.

“Tangkapan melibatkan seramai 28 orang penjawat awam, 28 orang awam, tiga orang swasta dan seorang warga asing.

“Seramai 30 orang atau 50 peratus sudah dituduh di mahkamah melibatkan tujuh penjawat awam, 18 orang awam dan lima swasta manakala yang lain menunggu keputusan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Program “Sempadan Kita, Maruah Kita” Bersama Agensi Penguatkuasaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datuk Ken Leben dan Pengarah Kastam Sarawak Herman Shah Abdullah.