KUCHING: Seramai 25 pendatang asing tanpa izin(PATI) yang bekerja di sebuah tapak pembinaan Hospital Umum Sarawak(HUS) ditahan bagi pemeriksaan ujian Covid-19, semalam.

Kesemua PATI terbabit ditahan seterusnya dibawa ke HUS menerusi operasi dijalankan agensi bersepadu Covid yang bermula pada jam 3 petang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil serta-merta susulan dua kes positif Covid-19 melibatkan dua warga Indonesia telah dikenal pasti di lokasi berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua individu terbabit disahkan positif selepas menjalani ujian swab di HUS sebelum ini.

“Kesemua 25 orang pekerja terbabit sudah dikerahkan menjalani ujian swab dan seterusnya dikuarantin.

“JPBNS sekali lagi menegaskan akan terus menyiasat mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Terdahulu ujarnya, operasi disertai seramai 150 petugas dari JPBNS, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan Negeri dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan.

TAHAN….25 pekerja warga asing dibawa ke HUS bagi ujian swab Covid-19.