WAJARKAH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula di seluruh negara? Persoalan yang menjadi perdebatan masyarakat termasuk ahli politik, akademik dan sebagainya terutamanya di media sosial.

Ia sering disuarakan berikutan Malaysia terus mencatat angka tiga digit penularan jangkitan tempatan Covid-19.

Hampir semua negeri melaporkan kes positif setiap hari dengan gelombang ketiga melanda Malaysia sejak 1 Oktober lalu, kes tertinggi sebanyak 691 kes pada direkodkan pada 6 Oktober.

Adakah mereka memahami sepenuhnya maksud, kesan dan implikasi pelaksanaan semula PKP itu terhadap sistem sosial dan ekonomi negara dan kepada rakyatnya?

Sebelum bercakap lebih lanjut, mari kita imbas kembali pelaksanaan PKP pada 18 Mac hingga 12 Mei lalu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

PKP dilaksanakan meliputi enam perkara iaitu pertama larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan prauniversiti;

Kelima, penutupan semua IPT awam dan swasta serta institut latihan kemahiran dan keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Tindakan drastik tersebut diambil untuk membendung penularan wabak Covid-19 dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai untuk mengelakkan lebih ramai rakyat dijangkiti wabak maut itu.

MUHYIDDIN YASSIN

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan bahawa impak pelaksanaan PKP amat besar.

Malaysia kerugian RM2.4 bilion sehari akibat penutupan perniagaan dan jika ia dilaksanakan semula, sudah tentu memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Pada pandangan penulis, akan terdapat lebih banyak kesan negatif berbanding positif jika PKP dilaksanakan semula di seluruh negara terutamanya kepada golongan B40, pekerja harian dan swasta, peniaga serta sektor pelancongan, penerbangan dan banyak lagi.

Contoh ketara ialah ramai rakyat hilang pekerjaan. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang berkata, ramai telah kehilangan punca pendapatan.

Katanya, ia secara langsung telah menjejaskan kehidupan seharian masyarakat bukan sahaja di Sarawak bahkan di seluruh Malaysia dan dunia. Sebagai contoh Amerika Syarikat mencatatkan jumlah pengangguran – 20.5 juta pada April, menjadikan jumlah pengangguran keseluruhan 14.7 peratus di negara itu dan ia merupakan jumlah terbesar dalam sejarah negara itu.

Namun di sebalik kesan negatif tersebut, ia juga memberikan kesan positif seperti perubahan kelakuan manusia dengan kebiasaan baharu, kualiti udara semakin baik, kemunculan aktiviti ekonomi baharu, serta revolusi pendidikan. Paling penting berjaya memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Laporan akhbar pada Mac menyebut bahawa kadar indeks jenayah menurun secara signifikan, dan kes kemalangan jalan raya menyaksikan penurunan sebanyak 70 peratus, tetapi kes jenayah siber menyaksikan peningkatan.

Tindakan Kerajaan Malaysia melaksanakan PKP Bersyarat di negeri yang mengalami lonjakan kes positif Covid-19 seperti di Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berbanding melaksanakannya sekali gus di seluruh negara merupakan langkah bijak.

Pada 6 Oktober lalu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan PKP di seluruh negara seperti sebelum ini, sebaliknya menggunakan kaedah PKP Diperketatkan Secara Bersasar kerana menurutnya, ekonomi dan sosial penduduk di negara ini bakal menerima tempias amat besar sekiranya ia dilaksanakan semula.

Justeru, walaupun PKP tidak perlu dilaksanakan semula, pemimpin negara harus menunjukkan teladan yang lebih baik kepada rakyat dengan mengurangkan berpolitik, begitu juga acara rasmi kerajaan yang menyebabkan ramai orang berkumpul sehingga mengabaikan penjarakan fizikal dan SOP tertentu.

Jadikan perkara yang terjadi semasa PRN Sabah sebagai pengajaran yang telah menyebabkan lonjakan ketara penularan jangkitan tempatan kes positif Covid-19 ke seluruh negara serta mencetuskan kluster baharu.

Malah ada dalam kalangan wakil rakyat termasuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor telah disahkan positif pada minggu lalu.

Pada masa yang sama, rakyat harus lebih bertanggungjawab dan mengamalkan kebiasaan hidup baharu dengan mematuhi segala SOP yang ditetapkan demi kesejahteraan semua.