KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan membuang sampah haram di kawasan pentadbirannya. MPP dalam satu kenyataan turut menyeru masyarakat untuk menjadi mata dan telinga bagi sebarang aktiviti pembuangan sampah secara haram dengan memberi maklumat yang berkenaan.

“Antaranya nombor pendaftaran kenderaan danmaklumat lain yang berkaitan dengan pesalah.

“Orang ramai boleh menghubungi MPP melalui talian 082- 615566 pada waktu pejabat atau menghantar mesej serta gambar secara WhatsApp ke talian 013- 8025566 pada bila-bila masa.

“Ini supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil sertamerta demi menjaga kebersihan alam sekitar di dalam kawasan pentadbiran MPP,” tegas kenyataan itu pada Rabu.

MPP turut mendedahkan pihaknya baru-baru ini telah mengenal pasti dua syarikat yang membuang sampah di Jalan Chong Jin Chong, Batu Kawa.

“Siasatan mendapati mereka telah membuat pengakuan membuang botol minyak kosong serta longgokan tar di tempat tersebut. “MPP telah memberikan amaran keras kepada mereka serta diarah untuk membersihkan kawasan tersebut dan pemeriksaan susulan di tapak kejadian mendapati mereka yang terbabit telah mematuhi arahan yang diberikan,” tambah MPP.