KUCHING: Michael Kong iaitu Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sepatutnya memberi cadangan yang membina kepada agensi kerajaan, bukannya menambah ‘bara api’, tegas Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.

Menurut Khere Chiang, sebagai seorang yang berpendidikan serta berpengalaman, Michael harus menyarankan cara-cara yang membina kepada agensi kerajaan untuk meningkatkan hasil kerja.

Beliau berkata demikian sebagai tindak balas kepada kenyataan media Michael baru-baru ini yang mengkritik JKR dan agensi berkaitan kerana kerja-kerja pembinaan jalan raya di Bazar Batu 7 di sini yang menurutnya menjejaskan pusat komersial dan pengguna jalan raya.

“Michael Kong harus memahami keperluan pembangunan terutamanya infrastruktur di Bazar Batu 7.

“Kebaikannya, beliau diperlukan untuk membantu menjelaskan kepada masyarakat umum mengenai pentingnya pembangunan infrastruktur dan bukannya menimbulkan kesulitan yang tidak wajar dengan tekanan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Adun Batu Kitang itu dalam masa yang sama memuji JKR kerana melaksanakan pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut yang akan meningkatkan kemudahan awam di kawasan itu untuk manfaat masyarakat.

“Sebarang projek pembangunan infrastruktur yang serupa hanya menyebabkan kesukaran sementara, namun faedahnya akan dinikmati oleh masyarakat umum pada masa akan datang.

“MPP sebagai pihak berkuasa tempatan menyedari perlunya meningkatkan kemudahan infrastruktur yang berterusan agar kemakmuran ekonomi di kawasan ini dapat dikekalkan untuk peningkatan kualiti hidup masyarakat di Batu 7 dan sekitarnya,” tambahnya.