SARIKEI: Rakyat Sarikei khususnya di kawasan Dun Repok bertuah kerana kerajaan sentiasa prihatin dan rancak melaksanakan pelbagai program pembangunan, termasuk membantu golongan yang memerlukan.

Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, usaha itu dapat dilaksanakan dengan jayanya berikutan suasana aman dan kestabilan politik di negeri ini.

Malah katanya, komitmen itu bukan sahaja untuk masyarakat di bandar, tetapi juga di pedalaman dan luar bandar bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Oleh sebab itulah penduduk di kawasan ini sentiasa berdiri teguh di bawah Kerajaan GPS yang diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sememangnya prihatin dengan keperluan rakyat.

“Hari ini, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi untuk manfaat rakyat dalam tempoh jangka panjang,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Sentral di sini pada Rabu.

Sehubungan itu beliau berkata, rakyat perlu terus mempertahankan perpaduan dan mengelak terlibat dengan sebarang unsur yang boleh menyebabkan perpecahan.

Katanya, rakyat perlu terus bersatu dan bekerjasama di bawah GPS yang merupakan parti yang dipimpin anak tempatan, sekali gus menjadi wadah terbaik untuk memastikan hak Sarawak terus dilindungi dan dipertahankan.

“Keharmonian antara kaum, ekonomi sihat, keselamatan awam, pendidikan yang bermutu tinggi serta pengurusan kerajaan yang berintergriti amat penting kerana mampu menjamin pembangunan negara atau negeri terutama luar bandar dapat dilaksanakan dengan lancar dan memenuhi sasaran.

“Sehubungan itu, saya melihat GPS sebagai platform terbaik untuk terus mengukuhkan perpaduan. “Ini kerana entiti politik yang melibatkan empat parti komponen utama Sarawak ini dianggotai masyarakat berbilang kaum,” ujarnya.

Tiong Sii yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Sarikei berkata, Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana besar untuk pembangunan prasarana dan pendidikan sekolah.

Tidak cukup dengan itu katanya, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan baharu di kawasan ini membuktikan komitmen padu kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk penduduk setempat.

“Sebagai wakil rakyat, saya tetap akan berusaha memohon peruntukan untuk melaksanakan pelbagai projek rakyat di kawasan Dun Repok termasuk menaik taraf prasarana gereja, tokong dan lainlain lagi.

“Pada masa yang sama, saya juga tetap meneruskan tradisi menyumbang katil boleh laras dan peralatan persekolahan termasuk pakaian seragam bagi membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan. “Saya juga amat mengutamakan pendidikan dan akan terus membantu atas kapasiti saya sebagai wakil rakyat,” ujarnya.