BAU: Polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun setelah disyaki terlibat menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di sebuah kedai runcit berhampiran Jalan Bau-Batu Kawa, semalam.

Serbuan dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bau di lokasi sekitar jam 1.50 petang.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek yang juga mengaku sebagai pembantu kedai runcit kedai itu ketika kejadian tidak mengetahui dirinya telah dikepung polis.

“Hasil pemeriksaan awal polis berjaya merampas seunit telefon bimbit berwarna putih jenama Huawei serta wang tunai daripada suspek,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Poge menambah, hasil semakan rekod lampau bagaimanapun mendapati suspek tidak mempunyai rekod masalah lampau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.