MIRI: Lukisan kepala kuda Pantai Tusan yang merupakan ikonik produk pelancongan di Sibuti yang runtuh pada 21 Februari lalu, kini mula dipamerkan kepada orang awam.

Pelukisnya yang juga kakitangan awam, Bolhan Basah, 41, bangga apabila hasil seninya mula mendapat tempat dalam kalangan pencinta seni termasuk agensi kerajaan.

“Lukisan kepala kuda ini satu-satu hasil lukisan yang banyak meninggalkan nostalgia kepada penduduk Miri khasnya masyarakat sekitar Sibuti. “Meskipun ia telah runtuh pada  21 Februari lalu dan menggemparkan penduduk Miri, saya mengambil inisiatif untuk melukis semula ia sebagai tanda kenangan kepada generasi akan datang,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Bolhan Basah berkata, meskipun berat untuk melepaskan lukisan kesayangannya itu, namun demi tatapan generasi muda, lukisan itu diserah dan dipamerkan di Pustaka Miri.

Selain lukisan kepala kuda, lukisan bangunan Pustaka Miri turut dipamerkan di Pameran Seni Lukisan Artis Tempatan Wilayah Utara Sarawak Tahun 2020, Pustaka Miri.

Bercerita tentang pengalaman melukis, Bolhan Basah telah menghasilkan lebih 300 lukisan hitam putih, lukisan cat, lukisan atas kanvas dan sebagainya.

“Untuk lukisan pensel atau hitam putih kita menggunakan teknik goresan pensel, dan kapas untuk tujuan penghalusan atau melicinkan ton cahaya, dan lorekan pemadam untuk membuat garisan halus rambut.

“Untuk mengolah rambut pula menggunakan arang dengan teknik gosok dengan jari telunjuk,” jelasnya. Bagi lukisan warna air, kita terpaksa mewarna menggunakan berus secara lapisan demi lapisan hingga potret tersebut siap.

Akrilik menggunakan berus hampir sama dengan teknik warna air cuma ia tidak memerlukan air dan lapisan seperti cat air.

Selalunya lukisan akrilik ini dibuat di atas permukaan kanvas manakala cat air munggunakan kertas khas.

Di samping itu, Bolhan Basah juga menggunakan teknik soft pastel dan cat minyak, meskipun kaedahnya agak lambat kering namun ia menjanjikan hasil yang lebih menarik.

Menurut Borhan, karyanya mula mendapat tempahan daripada orang awam yang mahu gambar mereka diabadikan sebagai lukisan.

“Saya mendapat tempahan daripada orang awam untuk melukis semula gambar perkahwinan, gambar peribadi, gambar ikonik bangunan dan sebagainya. “Kebiasaannya harga lukisan bergantung kepada saiz dan jenis lukisan serta ketelitian gambar bergantung kepada kehendak pelanggan,” ujarnya.

Hobi yang sebelum ini tidak disukai orang tuanya mula menjadi sumber pendapatan sampingan kepadanya. “Saya mula melukis sejak di bangku sekolah lagi, namun bakat dan minat saya pernah dihalang oleh tua orang saya.

“Namun saya tetap cekal dan tabah serta kembali melukis hingga karya saya mula menjadi perhatian dan mendapat tempahan orang ramai,” ujarnya.