KUCHING: Program yang disiarkan di saluran TVS menampilkan keunikannya tersendiri berbanding kandungan yang terdapat di stesen televisyen lain.

Ketua Pegawai Eksekutif TVS Suhaimi Sulaiman berkata, banyak program yang dipaparkan di stesen itu tidak terdapat di stesen TV lain.

“Setakat ini TVS mempunyai enam program utama diikuti beberapa program lain yang disiarkan secara langsung.

“Sejak TVS bersiaran, kami menerima banyak pandangan dan sambutan positif daripada penonton di seluruh negeri termasuk dari Sabah dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual dengan wartawan Suara Sarawak di Pejabat TVS, di sini semalam.

Menurutnya, antara program yang sangat diminati penonton setakat ini ialah dokumentari Rezeki Air – yang memaparkan tentang hasil pendapatan yang diperoleh dari sumber sungai.

Rezeki Air sebanyak 12 episod itu diarah oleh bakat muda tempatan, Sylvester William Awat.

Selain itu, antara program lain yang turut diketengahkan termasuk segmen perniagaan, galakan budaya membaca dan sebagainya.

“Program ini amat relevan dan berkait rapat dengan budaya masyarakat masa kini.

“Kami turut menerima beberapa cadangan daripada penonton mengenai beberapa program yang perlu dimasukkan sebagai rancangan baharu.

“Bagaimanapun, kami akan meneliti semua cadangan ini untuk menghasilkan program yang bukan sahaja menarik malah dapat memberi inspirasi kepada masyarakat,” katanya lagi.

Semalam, Finas mengumumkan menerima TVS sebagai rakan strategik dan bakal membiayai penerbitan karya melalui inisiatif Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif.