KUCHING: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dijangka tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan PRN-12 kerana mempunyai figura yang mampu menerajui parti itu untuk berdepan dengan pesaing.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Lee Kuok Tiung berkata, figura SUPP seperti Micheal Tiang, Milton Foo dan Robert Lau dilihat mempunyai karisma tersendiri untuk berdepan dengan caloncalon DAP, PKR mahu pun Parti Sarawak Bersatu (PSB).

“Anggaran 16 daripada 82 kerusi Dun Sarawak merupakan majoriti Cina. “Ia berbeza dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didominasi oleh parti-parti nasional dan kekurangan calon-calon Cina boleh menang sama ada matang, berkaliber, berpengalaman dan dikenali ramai,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak mengenai pola pengundian di kawasan majoriti Cina di Sabah pada PRN Sabah lalu yang mungkin turut berlaku di Sarawak.

Menurut Kuok Tiung, sebilangan daripada calon yang bertanding sememangnya bertujuan memberi pendedahan sebagai persiapan untuk PRN Sabah akan datang.

“Dua kelemahan paling ketara boleh dilihat iaitu nama MCA merupakan liabiliti yang besar dalam konteks di Sabah dan parti PBS yang turut mempertaruhkan calon Cina terdiri daripada muka lama apabila kalah sebelum ini.

“Persamaan lain termasuk jumlah pengundi yang jauh lebih besar berbanding kerusi di pinggir bandar dan luar bandar apabila memerlukan lebih banyak kerjasama dengan jentera pilihan raya lebih besar,” jelasnya.

Tegasnya, dari segi kempen siber juga pastinya Gabungan Parti Sarawak (GPS) terpaksa berdepan dengan ‘tentera-tentera’ siber dari Semenanjung dan Sabah malah seluruh dunia.

“Tidak semestinya model dan tetapan politik di Sarawak berbeza sama sekali dengan Sabah tetapi setiap kerusi di Sabah hampir berlainan semuanya.

“GPS terdiri daripada partiparti politik tempatan dan menganggotai PN Plus seperti PBS di Sabah,” ujarnya.

Kuok Tiung memberitahu, kepemimpinan parti harus mengambil kesempatan ini untuk melatih pemimpin-pemimpin muda. Tidak lupa beberapa bekas pemimpin.

“Perkara yang boleh dipelajari daripada PRN Sabah ialah rakyat mengundi calon DAP kerana simbol (logo) parti tersebut, pendek cerita soal calon atau parti.

“Tiada masalah untuk calon muka baharu DAP untuk menang kerana logo parti, namun sebaliknya di pihak GPS memerlukan personaliti yang mempunyai keistimewaan peribadi untuk membawa kemenangan kepada mereka,” ujarnya.