KUCHING: Konglomerat industri pembinaan Tan Sri Ting Pek Khiing meninggal dunia petang sebentar tadi, kata keluarganya.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun di kediamannya di Jalan Stutong di sini.

Sehingga berita ditulis, ahli keluarganya meminta ruang privasi dan enggan mendedahkan sebarang maklumat lanjut.

Terdahulu, sumber yang terdekat dengan keluarganya memberitahu, tokoh korporat itu memerlukan bantuan pernafasan sebelum dibawa pulang ke rumahnya menggunakan ambulans pada tengah hari.

Pek Khiing terkenal dalam industri pembinaan setelah berjaya menyiapkan Hotel Sheraton Langkawi Beach Resort dalam tempoh 100 hari pada 1991.

Anak kelahiran dari Bintangor ini juga membina Hidro Empangan Bakun di Bintulu yang bernilai RM15 bilion pada tahun 1994.

Pada tahun 2002, mendiang dikenali dengan pembinaan lapangan terbang Bintulu dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), 2003.

Dikhabarkan, mendiang mempunyai hubungan baik dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mendiang turut menjadi tajuk-tajuk utama di dada akhbar tempatan dan nasional sepanjang 16 tahun berkecimpung dalam industri pembinaan.

Malah, mendiang pernah menjulang Anugerah Hartanah Malaysia (FIACB) pada tahun 1992.

Berasal daripada keluarga kurang berkemampuan, Pek Khiing mula menceburi bidang pembinaan sebagai sub-kontraktor.