KUCHING: Sacofa komited menyediakan kemudahan Internet kepada penduduk luar bandar biarpun berhadapan pelbagai cabaran.

Pengarah Urusan Zaid Zaini berkata, komunikasi digital menjadi penting terutamanya dengan Strategi Ekonomi Digital 2018-2022 bagi melonjak ekonomi Sarawak melalui Ekonomi Digital untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi.

“Keadaan geografi dan kepadatan penduduk rendah menunjukkan persekitaran operasi yang mencabar dalam penyediaan perkhidmatan telekomunikasi ke kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Menandangani Perjanjian Kerjasama antara Unimas dan Sacofa untuk bantuan kemudahan kit Makerspace Digital (DM), semalam.

Beliau menambah, Sacofa akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk memastikan peningkatan kadar penembusan jalur lebar dan merapatkan jurang digital.

“Oleh kerana banyak kos yang diperlukan untuk melaksanakan infrastruktur jarak jauh dan medan yang mencabar, tidak semua projek dapat dilaksanakan secara komersial.

“Ini merupakan keperluan untuk sektor bukan industri komersial dengan projek didorong oleh inisiatif kerajaan atau inisiatif sektor swasta,” tegasnya.

Menurutnya, salah satu inisiatif swasta oleh Sacofa ialah membaiki ‘Akses Tanpa Wayar’ yang dilaksanakan buat pertama kalinya di Kampung Salak pada 2018.

“Sebagai badan korporat yang bertanggungjawab, kami komited untuk melaksanakan tugas kami melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk inisiatif SACOFA4U yang menyediakan perkhidmatan Wifi.

“Komuniti di kawasan awam yang kurang terdedah dengan kemudahan Internet kini mudah untuk mengaksesnya.

“Kemudahan Wifi kami membolehkan masyarakat mengakses Internet yang tidak terbatas tetapi kami percaya bahawa peranan kami tidak berakhir di sana,” tambahnya lagi.