KUCHING: Setelah hampir 20 tahun menghidap diabetes, Dr Ashok Segar berjaya menangani penyakitnya. Doktor berusia 58 itu berusaha mencari penawar untuk penyakitnya setelah disahkan menghidap kencing manis sejak berusia 30 tahun.

“Saya diberitahu bahawa saya tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan insulin kerana ubat berbentuk pil tidak berkesan untuk saya,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Sejak detik tersebut, Dr Ashok mengambil inisiatif untuk mencari kaedah alternatif bagi merawat penyakitnya dengan pelbagai cara.

“Saya berusaha mencari kaedah pemakanan sesuai bagi penghidap penyakit kencing manis termasuk penggunaan terapi sel untuk merawat diri saya,” katanya.

TERUJA… Dr Jeniri Amir cuba menarik perhatian haiwan yang mendapat perlindungan daripada Dr Ashok.

Setelah berjaya mengatasi masalah kencing manis, Dr Ashok sedia mbantu penghidap diabetes lain dengan menggunakan teknik pemakanan sesuai.

Difahamkan, Dr Ashok turut berjaya merawat ramai orang ketika beliau masih berkhidmat di Singapura sebelum berhijrah ke Kuching enam tahun lalu.

Beliau dan isterinya, Marties C Martinez juga dikenali kerana menyelamatkan beberapa haiwan terbiar seperti anjing dan berangberang selain menyediakan tempat tinggal selesa untuk haiwan tersebut.

Selain itu, Ashok dan Maties turut membela lebih daripada 10 jenis haiwan dan menanam pelbagai jenis tumbuhan di tempat kediamannya.