SEBANYAK 21 regu bakal berentap untuk merebut gelaran juara pada Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Kalaka yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

Ketua jawatankuasa penganjur pertandingan Mohd Faizal Wahid berkata, penyertaan terpaksa dihadkan ekoran tempoh PKPP yang mana menuntut semua acara mematuhi SOP ditetapkan.

“Sebanyak 21 regu mengesahkan penyertaan. “Cabutan undi juga telah dilakukan dan kita memutuskan mereka dibahagikan kepada tujuh kumpulan dari A hingga G,” katanya selepas sesi cabutan undi di Bilik Mesyuarat Lakis Saratok pada Khamis.

Jelasnya, Gelanggang Tok Adam Kampung Melango Lama yang menjadi venue pertandingan akan dibuka secara rasmi 17 Oktober (Sabtu) dan dijangka berakhir pada hari berikutnya (Ahad, 18 Oktober)

Beliau mengharapkan setiap pasukan dapat mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dan bersaing secara sihat.

Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk penonton agar mematuhi setiap SOP.

Pertandingan sepak takraw tertutup Kalaka ini merupakan salah satu pengisian Jum Santai Kalaka 2020 anjuran PBB Cawangan Kalaka.