SANTUBONG: Sarawak tidak mempunyai pilihan lain selain mengadakan pilihan raya kerana tempoh Dun berakhir pada Jun tahun depan, kata Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jelasnya, Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak berbeza dengan Sabah kerana pilihan raya di negeri itu berlaku akibat pergolakan politik.

“Tetapi PRN di negeri ini dilakukan melibatkan lunas perundangan bukan masalah dalaman politik,” katanya.

Jelas Wan Junaidi, sekiranya Yang di-Pertua Negeri tidak membubarkan Dun dalam tempoh lapan bulan ini, Dun akan terbubar secara automatik.

“Berbeza dengan Dun Sabah yang terpaksa dibubar kerana masalah politik.

“Situasi itu tidak berlaku di Sarawak,” katanya.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menambah, ia bergantung kepada kebijaksanaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud untuk menentukan pembubaran Dun.

Mengulas mengenai mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Antara Komponen GPS, beliau berkata, ia perkara biasa dilakukan sejak dulu lagi tetapi tidak dibincangkan secara mendalam.

“Ketika bersama-sama Barisan Nasional (BN), beberapa isu seperti logo dan lain-lain dipandang ringan dalam jawatankuasa ini.

“Tetapi, selepas GPS dibentuk, kita perlu mengukuhkannya sebelum berdepan dengan PRN-12,” tegasnya.

Berikutan itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tidak menafikan PRN-12 akan diadakan sebelum tempoh Dun berakhir pada Jun tahun depan.

“Bagaimanapun, sebelum membubarkan Dun, Pengerusi GPS akan berbincang secara konsesus dengan semua parti komponen.

“Maka, keputusan pembubaran Dun merupakan prerogatif Ketua Menteri.

“Ia adalah kehendak undang-undang bukannya gimik politik,” ujarnya.

Wan Junaidi memberitahu, apabila pembubaran Dun berlaku, jawatankuasa berkenaan akan melihat kawasan yang perlu dibantu serta memberi saranan kepada kepimpinan GPS.

“Keutamaan kita ialah kawasan yang bukan milik GPS dan berusaha menangani sebarang masalah perhubungan secara terperinci.

“Dalam mesyuarat ini juga, kami berbincang mengenai bahan kempen dan projek yang belum siap,” katanya.