KUCHING: Ahli politik tidak kira pembangkang atau yang berada di blok kerajaan digesa supaya mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menolak agenda peribadi yang mementingkan kemasyhuran nama.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ahli politik harus mendahului kepentingan rakyat, bukannya mementingkan nafsu sendiri.

Beliau berkata, tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadap
Yang di-Pertuan Agong pada 14 Oktober lalu, sekali lagi eletakkan negara ini dalam situasi bahaya.

“Masyarakat antarabangsa pada masa ini tidak melihat situasi politik di negara ini secara positif kerana
keadaan ini tidak pernah berlaku dalam tempoh 60 tahun.

“Keterlaluan politik ini menimbulkan kerisauan rakyat, pada saat seluruh negara sedang berhadapan Covid-19,” kata Ahli Parlimen Bintulu itu dalam satu kenyataan, semalam.

Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China itu menekankan, pembangkang dan kerajaan harus memainkan peranan menyelamatkan ekonomi negara bagi memastikan rakyat tidak kebuluran.

“Pemimpin perlu membincangkan strategi dan meyakinkan masyarakat bahawa masih ada prospek ekonomi yang baik pada saat yang sukar ini.

“Oleh itu, sangat penting untuk semua pihak menghentikan usaha berebut kuasa semata-mata untuk
menjadi Perdana Menteri.

“Teruskan sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berjaya membuktikan prestasi kepimpinan cemerlang,” ujarnya.

Tiong turut menegaskan, Kerajaan Persekutuan sekarang bukan kerajaan pintu belakang kerana Pakatan Harapan sendiri yang meruntuhkan kerajaan mereka.