MIRI: Warga Miri yang berminat menderma darah dialu-alukan untuk menghadiri Kempen Hari Derma Darah Bangsa-bangsa Bersatu pada 18 Oktober ini.

Aktiviti tersebut merupakan anjuran Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Miri dan Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah dengan kerjasama Lions Club of Miri Mandarin.

Pengerusi pengelola Kaunselor Karambir Singh berkata, waktu pendaftaran bermula pada jam 8.30 pagi hingga 1 tengah hari di Institut Latihan BSMM Miri di Jalan Bulan Sabit Merah di sini.

“Semua penderma yang berjaya akan menerima sijil penghargaan, lima helai pelitup muka dan minuman,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau memberitahu, Hospital Miri memerlukan anggaran 8,000 liter darah setiap tahun. Dalam pada itu, Karambir selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah turut menzahirkan terima kasih atas usaha dan sumbangan organisasi yang tampil membantu.

“Kempen derma darah bergerak memainkan peranan penting kerana ia dapat mengumpul sekitar 70 peratus darah yang diperlukan,” ujarnya. Hadir sama, Pengerusi Pengelola Bersama Mary Yii dan ahliahli Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah.