SELURUH dunia masih terkesan dengan krisis ekonomi ekoran pandemik Covid-19.

Malaysia juga tidak terkecuali. Terlalu banyak industri diarah tutup ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Walaupun kebanyakannya kembali beroperasi, namun kesannya masih dirasai.

Sektor perhotelan dan pelancongan antara yang mengalami kesan teruk.

Oleh itu, pelbagai usaha telah, sedang dan akan dilakukan oleh kerajaan untuk membantu golongan yang terjejas.

Untuk itu, Kerajaan Persekutuan telah menyenaraikan pelbagai bantuan kepada peniaga di bawah Bantuan Prihatin Nasional.

Tidak cukup dengan itu, para peniaga di negeri ini juga dibantu oleh Kerajaan Sarawak melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Ini bukti kerajaan memandang serius nasib peniaga ketika PKP dengan memberikan pelbagai bantuan kepada mereka kerana memahami pendapatan peniaga terjejas.

Selain membantu peniaga, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan juga giat memulihkan sektor pelancongan di negeri ini.

Ini kerana kita tidak dapat menafikan bahawa sektor pelancongan terjejas ketika PKP kerana pelbagai perkara yang dirancang terpaksa ditangguhkan.

Bagaimanapun ketika PKP Pemulihan, pelancongan domestik mula dibuka untuk menggalakkan pelancong dalam negara datang ke Sarawak.

Malaysia tidak membuka sempadan kepada mereka dari luar negara bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 dan promosi hanya tertumpu kepada pelancongan tempatan dan domestik.

Sarawak antara negeri yang memberikan fokus kepada pelancongan tempatan dalam usaha memulihkan sektor pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dipetik berkata, pandemik Covid-19 telah mendorong kepada promosi pelancongan tempatan.

Jika tidak berlaku Covid-19, promosi pelancongan tempatan tidak akan dilakukan secara agresif.

Pelbagai pakej pelancongan tempatan telah ditawarkan menerusi program “Sia Sitok Sarawak” dan memberikan peluang kepada penduduk di negeri ini untuk meneroka tempat-tempat yang belum pernah dikunjungi.

Katanya, pakej yang ditawarkan untuk pelancongan tempatan telah mendapat maklum balas baik daripada masyarakat di negeri ini dan ia merupakan perkara di luar jangkaan.

Tanpa Covid-19, berkemungkinan besar promosi pelancongan lebih difokuskan di peringkat antarabangsa seperti China dan negara-negara Eropah.

Untuk pakej “Sia Sitok Sarawak” ini, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menawarkan diskaun sehingga 50 peratus untuk lebih 30 tarikan dan aktiviti.

Agak menyedihkan ketika ini, apabila negara terpaksa berhadapan semula dengan peningkatan secara mendadak kes positif Covid-19.

Adakah usaha pemulihan ekonomi ini akan berjalan dengan baik?

Adakah kita akan berhadapan dengan PKP semula?

Adakah mereka yang terlibat dengan ekonomi ini bersedia untuk berhadapan dengan krisis ekonomi kali kedua ketika Covid19?

Kita yakin kerajaan mempunyai pelbagai cadangan untuk mengawal ekonomi negara daripada terus merudum.

Apa yang perlu dilakukan oleh rakyat?

Jawapannya, kawal pergerakan sendiri tanpa diminta atau diarahkan oleh kerajaan.

Jika kita ingin kembali pulih, ia perlu bermula daripada diri kita sendiri.

Hanya dengan mengawal pergerakan sahaja, kita dapat memutuskan pandemik Covid-19.