SERIAN: GPS perlu terus menerajui negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 nanti bagi memastikan negeri ini terus maju.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak banyak menyaksikan pencapaian sejak 2017 di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Abang Johari mahu melihat Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030 dan ketika hasrat tersebut tercapai, ia akan membawa manfaat lebih besar bagi semua warganya.

“Abang Johari merupakan Ketua Menteri untuk semua. Beliau melancarkan pelbagai program pembangunan untuk semua lapisan masyarakat termasuk menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) untuk menjaga kebajikan organisasi bukan Islam.

“Oleh itu, kita harus memastikan Abang Johari dan GPS terus memimpin negeri ini selepas PRN nanti,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) Dun 22 Kedup di Balai Babuk Barum, Kampung Bunan Gega/Bunan Punok, Serian semalam.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu juga memberitahu, GPS dan ahlinya menunjukkan kemampuan, polisi dan menjayakan program penbangunan untuk negeri ini.

“Ini bukan hanya retorik tetapi GPS menyalurkan pembangunan ke seluruh Sarawak,” tegasnya.

Beliau juga menzahirkan kekecewaan kepada pihak yang berjanji harga petrol akan dikurangkan dan memberikan royalti minyak 20 peratus kepada Sarawak, tetapi belum lagi dikotakan.

“Oleh itu, saya menggesa orang dalam Dun Kedup terus menyokong wakil rakyat anda (Martin Ben) ketika pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau mendedahkan, wakil rakyat sedia ada bekerja keras dan selalu ingin memastikan kawasannya tidak ketinggalan dalam semua pembangunan infrastruktur.

“Saya yakin bahawa anda akan terus memberikan sokongan kepada GPS supaya negeri ini dapat terus berkembang menjadi salah satu negeri maju pada tahun 2030,” kata Uggah.