DALAT: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanakkanak Datuk Seri Fatimah Abdullah mengumumkan akan bertanding untuk kali terakhir di kerusi Dun Dalat pada PRN akan datang.

“Usia saya sudah meningkat. Saya mahu pelapis muda yang benar-benar berkualiti dan berpotensi dalam menggantikan saya kelak.

“Oleh itu, demi kawasan kita dan demi perjuangan lebih besar, maka saya katakan inilah kali terakhir bagi saya untuk bertanding pada PRN kelak.

“Selepas ini kita akan pastikan ada insan yang telah kita didik dan bimbing untuk ambil alih tempat saya.

Maka saya akan betul-betul mengundurkan diri selepas kali terakhir ini,” katanya berucap dalam Program Ziarah Kampung, Kampung Sungai Kut Muara di sini semalam.

Fatimah menjelasnya beliau menggunakan sebaik-baiknya peluang sebagai wakil rakyat di Dalat untuk membantu dan turun padang menemui rakyat.

“Inilah yang saya telah buat setiap minggu…bukan setiap bulan. Saya pergi melawat kawasan kecuali minggu tertentu atas sebab tuntutan tugas sebagai menteri.

Saya akan pastikan pada hari lain saya datang bertemu dengan rakyat.

“Bagi mereka yang sudah diberi tangungjawab seperti ketua kampung, kapitan dan sebagainya, kita ambil ia sebagai satu tanggungjawab.

“Kita laksanakan tugas sebaik-baiknya kerana orang yang terbaik ialah yang boleh memberi kebaikan kepada orang lain,” nasihatnya lagi.

Mengimbau kembali penglibatannya dalam dunia politik, Fatimah memberitahu, beliau mengambil peluang tersebut sebagai tunggungjawab kerana Tun Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri ketika itu) memerlukan calon wanita yang berlatarbelakangkan pendidikan dan datang dari kawasan luar bandar bagi mengantikan Tan Seri Affendi Narawi yang bersara.

“Selepas perbincangan, saya melihat ini peluang untuk saya berbakti dan membantu wanita, keluarga dan institusi keluarga.

“Saya laksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya,” jelasnya yang turut yakin ada generasi muda yang dapat menggantikan beliau kelak.