MIRI: Pilihan raya tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat jika Covid-19 terus mencatatkan peningkatan tiga angka, kata Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofrie Jaraie.

Katanya, kerajaan tidak harus menghukum rakyat dengan mengadakan pilihan raya ketika wabak itu terus merebak pantas. “Kerajaan harus mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri Sabah.

Ia mencatatkan peningkatan kes setiap hari dan paling menyedihkan, turut mencatatkan kematian,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Jofrie berkata sekiranya pilihan raya diadakan dalam tempoh ini, ia bakal mengundang kemarahan rakyat terutama pengundi.

“Rakyat lebih menderita dan ekonomi juga semakin terjejas sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan semula,” jelasnya.

Tambah Jofrie, jika keadaan menjadi tidak terkawal, kerajaan perlu membantu meningkatkan pendapatan rakyat sekali gus menolak kepentingan politik.

“Jangan biarkan rakyat marah dan menghukum kerajaan yang tidak bertanggungjawab dengan menolak mereka pada pilihan raya.

“Ketika ini, kita perlu menyalurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19, bukan bermain politik,” tegasnya.

Pihaknya juga menggesa kerajaan menguta-makan keselamatan dan kesihatan rakyat dengan menangguhkan semua kegiatan atau aktiviti yang menyumbang kepada risiko penularan Covid-19.

“Tiada gunanya menang pilihan raya ketika rakyat terus menderita, merana dan ekonomi negara terjejas. Tambah Jofrie, jika pilihan raya perlu diadakan kerana tempoh Dun tamat, kerajaan boleh mengadakan ia secara terkawal tanpa rapat umum dan kempen secara bersemuka.

“Calon boleh berkempen secara maya atau media sosial serta menggunakan platform media kerajaan selagi tidak melanggar akta penyiaran. “Ia lebih selamat berbanding kempen secara bersemuka, rapat umum atau rumah ke rumah,” ujarnya.