SANTUBONG: Jangan ulangi sejarah yang menyebabkan banyak hak Sarawak terhakis apabila Majlis Gerakan Negara (Mageran) diperkenalkan menggantikan perlembagaan ekoran pengisytiharan darurat di Malaysia pada 13 Mei 1969.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sesetengah pendapat tentang keperluan mengisytiharkan darurat susulan pandemik Covid-19 pada Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlaku bila-bila masa sahaja.

Secara peribadi Wan Junaidi berpendapat, tidak perlu mengisytiharkan darurat kerana penularan Covid-19 dapat dikawal dan dihentikan dengan pematuhan SOP tahap tinggi.

“Saya kurang pasti apakah situasi agak bahaya untuk mengisytiharkan darurat kerana ia bergantung kepada keselamatan negara.

“Tetapi, setakat ini, belum pernah isu kesihatan menjadi punca pengisytiharan darurat di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Antara Komponen GPS di Dewan Serbaguna Pusat Khidmat Parlimen Santubong di sini, semalam.

Bagaimanapun, Wan Junaidi yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB menambah, pengisytiharan darurat boleh berlaku atas keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah tentu Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat jika perlu.

“Namun, saya tidak menyukai keadaan yang dinamakan darurat. Pentadbiran negara akan digantung daripada berfungsi,” jelasnya.

Katanya lagi, keadaan itu berlaku pada 13 Mei 1969 sehingga menyebabkan Ordinan Darurat Kuasa Penting 1969 dikuatkuasakan.

“Namun ordinan terbabit membolehkan Kerajaan Persekutuan menggali minyak dan gas di Sarawak di bawah Petronas.

“Kerajaan Persekutuan lupa mengenai Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan hak Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi memberitahu, sudah pasti rakyat Sarawak tidak mahu sejarah berkenaan berulang kembali.

“Jadi, sama ada PRN terpaksa dilakukan ketika pandemik Covid19, rakyat tidak perlu merasai kehidupan dalam keadaan negara diisytihar darurat,” katanya.