KUCHING: Seorang tukang sapu maut dilanggar oleh sebuah lori yang dipandu seorang lelaki dalam kemalangan jalan raya di Batu 7 Jalan Penrissen di sini semalam.

Mangsa wanita dikenali sebagai Jilem Juwen, 54 itu dilanggar semasa melintas jalan raya yang didakwa secara mengejut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku semasa pemandu lori berusia 23 tahun bergerak lurus dari arah Serian menuju ke Kuching.

“Ketika berada di lokasi kejadian, tiba-tiba mangsa yang berjalan kaki melintas jalan raya sehingga mengakibatkan berlaku kemalangan.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Bawang, Jalan Penrissen mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata Alexson, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.