KUCHING: Sembilan lelaki warga Indonesia ditahan setelah cuba memasuki Sarawak melalui sempadan Biawak-Lundu, semalam.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak SAC Mancha Ata berkata, kesemua suspek ditangkap sepasukan Cawangan Risikan Batalion 11 PGA Batu Kawa ketika bertugas sempena Op Benteng Covid di lokasi.

Menurutnya, tempat penyembunyian suspek seterusnya diserbu oleh pasukan risikan sekitar jam 7.45 pagi.

“Beberapa individu ditemui dalam mencurigakan, cuba bersembunyi di belakang sebuah kedai makan Nur Islammiah berdekatan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak.

“Setelah ditahan, pasukan operasi mendapati kesemua suspek merupakan warga Indonesia,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mendedahkan, kesembilan-sembilan suspek disyaki memasuki Sarawak menerusi laluan jalan yang tidak diwartakan (jalan tikus) yang berada di ladang Pasir Jaya, Pasir Tengah.

Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati mereka (suspek) gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran masuk ke Malaysia.

Tegasnya, tindakan suspek itu merupakan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pegawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Akta Imigresen 1959 (Akta 155) Seksyen 6(1).

Mancha bagaimanapun mengesahkan kesemua suspek telah diarahkan berpatah balik ke Indonesia dengan menggunakan laluan yang sama (Jalan Tikus Ladang Pasir Jaya, Pasir Tengah).

Sembilan warga Indonesia yang ditangkap oleh Cawangan Risik Batalion 11 PGA Batu Kawa yang bertugas di lokasi sempena Op Benteng Covid, semalam.