BELAGA: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus berusaha merangka dasar yang menyeluruh demi kemajuan dan kesejahteraan Sarawak, termasuk mempertingkat taraf hidup masyarakat luar bandar.

Justeru, beliau berharap agar rakyat Sarawak terus memberi mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mentadbir negeri dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang dijangka diadakan bila-bila masa.

“Waktu ini kuasa saya dan GPS hendak habis, jadi saya tidak mahu berjanji apa-apa, tetapi kalau diberikan kuasa semula, saya akan menyelesaikan semuanya,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Masjid Daerah Belaga dan Perasmian Tebingan Belaga di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, pentadbiran GPS telah terbukti dalam menguruskan Sarawak dengan baik apabila masyarakat hidup dengan aman selain mempunyai kestabilan dalam politik.

Katanya, keutamaan GPS adalah rakyat dan sejak mengambil alih sebagai Ketua Menteri dalam tempoh tiga tahun ini, beliau komited dalam memastikan setiap rakyat berkongsi kesamarataan, baik dari segi ekonomi, pendidikan dan beragama.

FOTO: GHAZALI BUJANG

“Misalnya dalam pendidikan, saya menubuhkan Sekolah Menengah Antarabangsa dan ini adalah untuk anak-anak kita di luar bandar yang cemerlang dalam pendidikan.

“Menerusi sekolah ini, kalau berjaya mereka akan dapat memasuki universiti antarabangsa dan keluarlah anak Sarawak berkualiti antarabangsa.

“Kami tidak mahu anak kita jaguh kampung, tetapi menjadi jaguh dunia dan inilah harapan kami untuk masa depan,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap agar rakyat Sarawak terus menjaga perpaduan untuk memacu Bumi Kenyalang ini menjadi wilayah termaju menjelang 2030.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar merangkap Adun Belaga Datuk Liwan Lagang, Menteri Muda Bekalan Air merangkap Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Adun Murum Keneddy Chuk Pai Ugon.

FOTO: GHAZALI BUJANG