BINTULU: Enam wanita warga asing ditahan dalam serbuan Op Nada di sebuah hotel di sini, semalam.

Turut ditahan dua lelaki tempatan berumur 29 dan 59 tahun.

Serbuan 4.30 petang hingga 7.30 malam itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, polis merampas pelbagai item disyaki digunakan untuk aktiviti pelacuran iaitu 38 unit kondom, dua unit alat penggetar perangsang seks, tiga buku catitan dan dua botol gel pelincir.

Turut dirampas enam unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM210, kad bilik hotel dan beberapa keping resit hotel.

Berdasarkan maklumat risikan pihak polis, katanya, mendedahkan, saspek menggunakan aplikasi internet dengan menampilkan gambar-gambar mengghairahkan untuk memancing pelanggan bagi melanggan seks dengan pakej bayaran tertentu.

Menurutnya, kesemua saspek disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Saspek wanita warga asing turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah semasa serbuan.

TAHAN… Anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bintulu menahan wanita warga asing dalam serbuan Op Noda di sebuah hotel di Bintulu.