KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, pulih daripada COVID-19 dan dibenarkan keluar dari wad di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, pada jam 10.30 pagi tadi.

Turut dibenarkan pulang ialah isteri beliau, Datin Juliah Salag.

Hajiji yang bimbang dengan peningkatan jumlah kes COVID-19 di Sabah berkata, kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk membendung penularan wabak itu.

“…yang penting ialah rakyat mesti berdisiplin, bekerjasama dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi; Pengarah HQE Dr William Gotulis; Ketua Unit Penyakit Berjangkit Dr Lee Heng Gee; doktor-doktor pakar dan jururawat yang telah merawat beliau dan isteri.

Hajiji turut melahirkan penghargaan dan berterima kasih, kepada mereka yang sentiasa mendoakan kesembuhan dan kesihatan beliau, serta petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus berkorban masa dan tenaga bagi membendung penularan wabak COVID-19.

— BERNAMA