BELAGA: Peluang dan keutamaan harus diberikan kepada penduduk dan Daerah Belaga untuk pembangunan.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Datuk Liwan Lagang berkata, penjanaan pendapatan yang diperoleh daripada dua empangan iaitu Bakun dan Murum hendaklah disumbangkan semula kepada penduduk.

Katanya, sebagai menghargai pengorbanan penduduk Belaga, pendapatan daripada dua empangan itu disumbangkan kepada Tabung Amanah Bakun.

Tambah Liwan, Sarawak Energy Berhad yang memiliki empangan dapat menyumbang RM2 juta setahun untuk tabung tersebut.

Jelasnya, sumbangan itu nanti dapat digunakan untuk menghantar anak-anak ke sekolah serta digunakan untuk generasi akan datang.

“Anak-anak muda kita tidak dapat bersabar. Mereka ingin memohon juga sedikit daripada penjanaan dua projek mega ini.

“Kami bukan meminta balasan, tetapi kami ingin dihargai atas pengorbanan kami yang tidak ternilai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Masjid Daerah Belaga dan Perasmian Tebingan Belaga yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pekarangan Tebingan Belaga semalam.

Adun Belaga itu berkata, peluang pekerjaan di kedua-dua empangan itu harus diutamakan kepada penduduk tempatan sebelum diberikan kepada tempat lain.

Tambah Liwan, penduduk Belaga juga mempunyai ramai juruteknik dan jurutera yang dapat bekerja di empangan tersebut.

“Pembangunan di tempat kita berilah kepada rakyat kita,” ujarnya.