MIRI: Cadangan pembinaan kawasan perindustrian untuk Long Lama akan dimasukkan dalam RMK-12, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan itu berkata, penubuhannya serupa dengan Marudi.

“Tetapi konsepnya akan disesuaikan dengan masyarakat di Long Lama dan kawasan sekitar. “Apabila siap kelak, ia akan menjadi tempat strategik bagi mereka yang terlibat dalam industri pemprosesan makanan dan kraf tangan,” katanya menjawab soalan Adun Telang Usan Dennis Ngau mengenai keperluan menubuhkan kawasan perindustrian di daerah tersebut.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua berkata demikian pada Majlis Pelancaran ‘Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang’ di Long Lama, semalam.

Sementara itu, mengenai cadangan penambahbaikan loji rawatan air Telang Usan beliau berkata, Kerajaan Sarawak dalam rancangan untuk meningkatkan kemampuan loji tersebut bagi meningkatkan bekalan air bersih ke daerah tersebut.

“Untuk meningkatkan kemampuan loji air hingga 10 juta liter setiap hari (MLD), kos penambahbaikan dianggarkan sekitar RM30 juta,” jelasnya.

Dalam program yang sama, beliau turut menyampaikan bantuan kewangan kepada 16 peniaga kecil di Long Lama berjumlah RM521,000.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Baram Anyie Ngau dan Adun Telang Usan Dennis Ngau.