BINTULU: Kerajaan Sarawak komited dan fokus terhadap nasib dan kebajikan (bantuan) nelayan di seluruh negeri ini. Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, pemberian bantuan daripada kerajaan kepada nelayan amat penting bagi memastikan kebajikan nelayan terus dijaga.

“Usaha itu juga perlu dipertingkatkan dalam memastikan keselesaan dan keperluan golongan tersebut mencukupi,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN), Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan (BIPPN) dan Input Pertanian Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) berjumlah RM1 juta bagi kawasan Dun N67 Jepak di Dewan JKKK Kampung Jepak Hulu baru-baru ini.

Justeru, beliau berharap golongan terbabit memanfaatkan bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan itu sebaikbaiknya bagi meningkatkan sosioekonomi diri dan keluarga mereka.

Dalam isu berasingan, Adun Jepak itu turut menasihati rakyat di kawasan Dun Jepak agar tidak mudah terpedaya dengan diayah dan berita tidak benar yang cuba disebarkan oleh pihak tertentu menjelang pilihan raya.

“Saya yakin rakyat di kawasan ini (Dun Jepak) dapat menilai antara berita benar dengan berita palsu, termasuk yang disebarkan melalui media sosial,” tambahnya.

Pada majlis itu, Talib turut menyempurnakan acara pelepasan 3,000 benih udang galah di Jeti Kampung Jepak Hulu. Seramai 184 nelayan laut dan darat di Bahagian Bintulu terutama di kawasan Dun Jepak menerima agihan Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan membabitkan jumlah keseluruhan RM276,000 manakala 194 penerima membabitkan jumlah keseluruhan RM388,000 menerima agihan Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan.

Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim; Pemangku Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Anggang Jimbun dan Penolong Pegawai Perikanan Kanan Seksyen Perikanan Darat Bahagian Bintulu Kairulnieza Waynie antara yang turut hadir.