DARO: Kerajaan Sarawak sentiasa gigih membangunkan kawasan luar bandar dan sentiasa mengikut perundangan sedia ada.

Menurut Adun Daro Safiee Ahmad, dakwaan merampas tanah rakyat, perlu ditangkis apabila Kerajaan Sarawak telah menyukat semula Tanah Hak Adat (NCR) dan menyampaikan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada rakyat sejak dahulu sehingga kini.

Jelasnya usaha tersebut membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam isu melibatkan tanah. Dalam majlis tersebut 199 penduduk menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanan KTN, termasuk Warta Rezab Komunel Bumiputra Seksyen 6 KTN diikuti penyerahan Cek Pampasan Tanah (RM66,713.35) kepada sembilan orang penduduk, melibatkan projek cadangan pembinaan Jalan Passin/Matu, Mukah sejauh 2 kilometer pertama.

“Kita akan sentiasa gigih dan tetap tidak berputus asa bagi memastikan pembangunan di Daro menjadi realiti,” katanya berucap pada perasmian Dewan Masyarakat Daro di sini pada Sabtu.

Katanya, dengan adanya projek Jambatan Muara Lassa dan beberapa projek jambatan lain di sekitar kawasan pesisir kini, dalam tempoh tiga tahun, ia akan menjadi pemangkin perubahan sosial dan ekonomi di Daro. Sementara itu, Dewan Masyarakat Daro baharu yang menggantikan Dewan Kemas, mampu menampung lebih 200 penduduk.

Dewan Kemas telah pun berusia sekitar 40 tahun. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibolah, Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abd Wahab, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie, dan Residen Mukah Hamdiah Bakir.