PADAWAN: Sarawak akan terus berada di barisan hadapan, selari dengan konvensyen antarabangsa dalam pengiktirafan hak komuniti terhadap sumber biologi dan pengetahuan tradisional.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Sarawak Datuk Amar Michael Manying Jawong berkata, projek AdenoSara menunjukkan tadbir urus yang baik bagi sumber genetik dan pengetahuan tradisional melalui perkongsian faedah dan penggunaan biodiversiti secara mampan.

Projek tersebut juga dapat memberi komitmen untuk terus maju dari segi penyelidikan dan pembangunan dalam bidang bioteknologi kepada seluruh komuniti peribumi di Sarawak.

“Malah inisiatif ini akan menggalakkan pertumbuhan sektor bioekonomi di Sarawak,” katanya ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Perkongsian Faedah AdenoSara di Kampung Semadang, Penrisen di sini baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan Protokol Nagoya berkaitan Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) sejak 2019.

Pemeteraian perjanjian itu menyaksikan faedah secara adil dan saksama dilaksanakan ke atas pengetahuan tradisional yang berkaitan dengan sumber genetik.

“Sejak itu, Sarawak semakin serius dalam melaksanakan peruntukan Protokol Nagoya khasnya bagi memastikan perkongsian faedah silaksanakan secara adil dan saksama bersama komuniti peribumi,” ujar beliau.

Menurutnya, SBC juga akan terus berusaha ke arah inovasi dan penemuan pokok baharu daripada sumber biologi serta pengetahuan tradisional etnik komuniti Sarawak.

Ia bagi memastikan komuniti mendapat manfaat hasil daripada penggunaan pengetahuan tradisional. Mereka juga dapat menyumbang dalam pemuliharaan pengetahuan tradisional dan penggunaan sumber biologi secara mampan.

“Saya berharap komuniti akan terus menyokong SBC dalam berkongsi pengetahuan tradisional supaya penemuan yang berpotensi dapat dihasilkan,” katanya.