SELANGAU: Air terjun Penyuan Ulu Selangau di sini berpotensi untuk dijadikan tempat tarikan pelancong.

Adun Tamin Ir Christopher Gira Sambang berkata, keunikan landskap dan keindahan semula jadi di kawasan air terjun ini mempunyai tarikan jika ia dibangunkan.

“Air terjun ini ada tujuh tingkat dan mempunyai pemandangan semula jadi yang sangat indah.

“Saya yakin tempat ini mampu dijadikan sebagai tempat pelancongan dan wajar dibangunkan bagi menjadi salah satu produk pelancongan kepada kita di Selangau ini khususnya di Dun Tamin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyertai lawatan ke Tapak Air Terjun Penyuan, Ulu Selangau yang dianjurkan oleh  Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) di sini pada Jumaat lalu.

BERPOTENSI…Rombongan MDLBS bersama-sama Gira ketika mengunjungi air terjun Penyuan Ulu Selangau.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami, Pengerusi MDLBS Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai, ahli-ali MDLBS serta penduduk rumah panjang yang berdekatan.

Justeru, Gira menggesa MDLBS untuk mengemukakan kertas kerja kepada Kementerian Pelancongan Negeri Sarawak untuk memohon dana supaya tempat ini dimajukan sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong.

Menurutnya, kerjasama antara MDLBS dengan kementerian tersebut amat penting bagi membangunkan tapak air terjun tersebut untuk bersama-sama menghasilkan produk pelancongan di sini.

INDAH… Air Terjun Penyuan Ulu Selangau.

MDLBS yang diterajui Sempurai juga katanya, perlu lebih proaktif bagi mencari tempat menarik untuk dijadikan produk pelancongan.

“Saya berharap MDLBS terus menerokai banyak lagi tempat tarikan pelancong untuk dibangunkan seperti di kawasan Ulu Balingian, Ulu Mukah, Pakoh dan Ulu Oya.

“Tamin ini sebenarnya tidak ketandusan tempat menarik dengan keindahan alam semula jadi untuk dijadikan tempat pelancongan sekali gus memberi impak ekonomi kepada penduduk setempat khususnya yang tinggal berdekatan tempat menarik seperti di Ulu Selangau.

“Sektor pelancongan amat penting kerana ia boleh memberi pelbagai manfaat kepada penduduk setempat selain penggiat industri ini,” ujarnya. Gira juga mengingatkan penduduk setempat agar sentiasa mengekalkan keindahan di sekitar kawasan ini tanpa menjalankan aktiviti yang merosakkan alam sekitar.