DARO: Belanjawan negeri akan datang ditumpukan kepada projek pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali  Hasan berkata, 70 peratus daripada bajet diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

“Saya percaya Belanjawan Sarawak 2021 yang dibentengkan pada bulan depan bakal menitik beratkan pembangunan di kawasan luar bandar.

“Maka, untuk memastikan Kerajaan Sarawak terus membina masa depan yang lebih baik di negeri ini, kita semua harus bekerjasama dan memberi sokongan penuh kepada kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya pada Majlis Perasmian Dewan Masyarakat Daro.

Awang Tengah turut mengimbau pentabdiran negara yang ditabdir oleh parti-parti politik dari Semenanjung Malaysia khasnya Pakatan Harapan yang banyak menabur janji tetapi tidak dilaksanakan.

“Selama 22 bulan mereka memerintah, banyak janji diluahkan antara 50 peratus cukai minyak dan gas dikembalikan kepada Sarawak.

“Namun semua janji kosong sehingga Bantuan Sara Hidup Nelayan juga dipotong, yang sekali gus memberi kesan kepada penduduk di pesisir pantai,” tegasnya.

Justeru, beliau mengesa semua rakyat berdiri teguh bersamasama Kerajaan Sarawak dalam membawa Sarawak menuju negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Kita mahu rakyat mempunyai pendapatan yang lebih baik dan bersedia dengan perubahan pembangunan bakal berlaku serta memahami perubahaan baharu terutama melibatkan ekonomi digital,” ujarnya.

Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan itu menambah, perasaan rendah diri harus dikikis dalam diri setiap individu jika mahu berjaya seperti orang lain.

“Jangan ada perasaan rendah diri kerana melihat diri berasal dari luar bandar. Percayalah, jika dahulu kita hidup susah pasti ada kalangan kita berjaya sekiranya terus gigih untuk berjaya,” ujarnya.