KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan dan institusi pengajian awam dan swasta digalakkan untuk memperbanyakkan kajian bagi menghasilkan ubat antiviral atau vaksin dalam merawat jangkitan virus terutama COVID-19.

Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata penubuhan makmal bagi kajian itu mampu menjadi salah satu penyumbang kepada pembinaan semula ekonomi Malaysia pasca-COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan ekonomi negara.

“Kajian seperti ini tidak banyak di Malaysia dan dengan cara ini kita boleh bersiap sedia. Ia merupakan sumber ekonomi yang tinggi kalau kita dapatkan menghasilkan vaksin sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya dalam program “Wacana Al-Quran: Impak COVID-19: Tenggelam Dalam Debu” yang disiarkan menerusi Facebook Sinar Harian.

Mohd Daud berkata usaha untuk menghasilkan ubat antiviral dan vaksin adalah penting supaya Malaysia tidak berharap kepada negara lain untuk mendapatkannya.

Beliau yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata sektor korporat boleh mengutamakan pendidikan berteraskan teknologi kepada mereka yang diberhentikan kerja bertujuan mempercepatkan pembangunan modal insan.

“Tumpuan harus diberi dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada bagi memudahkan mereka memasuki era digital dengan pengetahuan serta kemahiran digital. Pendidikan adalah satu aset negara yang hebat dan kita perhatikan golongan muda kita serta graduan untuk melakukan perubahan serta anjakan baharu dalam pasca-COVID19 ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Pengasas Mofaz Sdn Bhd, Mohamed Fauzy Abdul Hamid berkata musibah akibat pandemik COVID-19 itu merupakan cabaran terbesar bagi sektor korporat.

Justeru, sektor korporat disaran untuk merebut peluang-peluang baharu yang disediakan ketika ini seperti menghasilkan produk kesihatan atau menyediakan servis berkaitan kesihatan untuk terus bangkit dalam persekitaran kebiasaan baharu ketika ini, katanya.

Syarikat korporat perlu mencari peluang dalam setiap perkara yang berlaku sekarang ini,” kata Mohamed Fauzy. – BERNAMA

 Foto: FB Datuk Dr Mohd Daud Bakar