PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu harian COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan angka lebih daripada 800 dengan 862 kes dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan angka keseluruhan sebanyak 22,225 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus tersebut sebanyak 7,681 kes.

Beliau berkata tiga kematian dilaporkan hari ini dengan kesemuanya di Sabah, menjadikan kes kumulatif kematian di Malaysia akibat pandemik itu setakat ini 193 kes.

Selain itu, Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih COVID-19 sebanyak 634 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 14,351 atau 64.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes pulih di Sabah sebanyak 433 kes, Kedah (109 kes), Selangor (77 kes), Wilayah Persekutuan Labuan (10 kes), Negeri Sembilan (dua kes), Johor (satu kes), Pahang (satu kes) dan Terengganu (satu kes).

Beliau berkata daripada 862 kes baharu yang dilaporkan, terdapat dua kes import mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan seorang warganegara dan seorang bukan warganegara, masing-masing dari Mesir dan Indonesia.

Daripada 860 kes penularan dalam negara pula, empat kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu sejak 20 Sept sebanyak 452 kes.

Menurutnya lagi, Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 673 kes (78.1 peratus).

Kini lebih banyak ujian makmal dapat dijalankan di negeri itu selain dihantar ke Semenanjung Malaysia.

Memperincikan jumlah kes penularan dalam negara, Dr Noor Hisham berkata selain Sabah dengan 673 kes, Selangor mencatatkan 132 kes, Kedah (17), Perak (sembilan), Pulau Pinang (lapan), Labuan (enam), Negeri Sembilan (enam), Kuala Lumpur (enam), manakala Putrajaya, Johor, Kelantan masing-masing satu kes.

Secara keseluruhan, sebanyak 235 kes (27.3 peratus) pada hari ini adalah daripada kluster Penjara Kepayan dan kluster Tembok yang kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat, jelasnya.

Sehingga kini, terdapat 95 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 29 memerlukan bantuan pernafasan.

— BERNAMA