SARIKEI: “Saya akan mengalasnya dengan sebaik mungkin,” kata Kaunselor Misiah Abu Seman yang menerima lantikan baharu sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei.

Sambil menyifatkannya sebagai satu amanah, Misiah mengakui gembira menerima tawaran jawatan berkenaan apatah lagi, ia satu kepercayaan terhadap kaum wanita.

Menurutnya, beliau pernah menerima tawaran sebelum ini namun terpaksa ditolak berikutan komitmen tanggungjawab lain yang terpaksa dipikulnya ketika itu.

“Malah, saya pernah mencadangkan nama tertentu untuk menyandang jawatan tersebut. Saya terkejut apabila sekali lagi mendapat tawaran yang sama.

“Pada kali ini saya menerimanya kerana menganggapnya sebagai satu amanah kepercayaan untuk wanita dari PBB N.41 Kuala Rajang,” katanya kepada Suara Sarawak.

Misiah, 54, merupakan Ketua Wanita PBB N.41 Kuala Rajang dan Ahli Majlis Tertinggi Wanita PBB Sarawak.

Selain itu beliau yang juga seorang usahawan juga cukup aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan di sekitar Sarikei dan Tanjung Manis.

Selain Misiah, turut mengangkat sumpah, kaunselor Mohd Hafiz Mohd Rosley sebagai Ahli Majlis Daerah Sarikei yang baharu.

Majlis akad sumpah berlangsung di hadapan Pengerusi MDS, Wong Zee Yeng dan Setiausaha MDS, Sait Enggang sambil disaksikan seramai 30 orang kaunselor yang lain.