DEBAK: Sebarang isu dan masalah yang dibangkitkan komuniti Cina tidak pernah diabaikan, malah keperluan sentiasa dipantau untuk dipertimbangkan dari semasa ke semasa.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, kawasan Saribas secara keseluruhan diberikan perhatian yang sewajarnya tanpa mengira faktor majoriti atau minoriti sesuatu kaum.

“Ini prinsip saya, apa juga isu dan masalah yang sampai ke telinga akan diberikan perhatian mengikut keperluan… tidak timbul soal Melayu, Iban atau Cina.

“Senario ini sudah menjadi amalan untuk memastikan tiada kaum yang dipinggirkan. “Justeru, seperti mana masyarakat Melayu dan Iban, komuniti Cina juga tidak ketinggalan menikmati arus pembangunan yang dibawa Kerajaan Sarawak,” katanya semasa meluangkan masa berandau santai bersama-sama komuniti Cina di Bilik Gerakan Persatuan Chung Hua Debak, pada Ahad.

SAYANG SARIBAS… Razi bergambar kenangan selepas meluangkan masa berandau santai bersama-sama komuniti Cina di Debak. Turut kelihatan Xio Ping dan Ming Hai.

Jelasnya, sokongan berterusan komuniti Cina di sini terhadap Kerajaan GPS sentiasa ditagih untuk melancarkan lagi urusan pembangunan.

“Saya yakin, banyak dasar Kerajaan GPS dan inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg benarbenar menguntungkan rakyat,” ujarnya.

Justeru, seperti mana masyarakat Melayu dan Iban, komuniti Cina juga tidak ketinggalan menikmati arus pembangunan yang dibawa Kerajaan Sarawak.

Razi pada pertemuan tersebut sempat menerangkan tentang usaha membangunkan Saribas khususnya melalui pelaksanaan Projek Rakyat, RTP, MRP dan sebagainya.

Beliau juga akan mempertimbangkan beberapa isu yang dibawa komuniti Cina khususnya berkaitan permohonan baik pulih rumah, jalan raya, bantuan pertanian dan ternakan serta penyelesaian masalah bekalan elektrik dan air.

Hadir sama Kapitan Tan Xio Ping dan Lim Ming Hai.